SYARAT-SYARAT PERMOHONAN DAN PENGGUNAAN PETAK LETAK KERETA BERMUSIM / RIZAB DAN PETAK LETAK KERETA SEMENTARA BAGI PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) NEGERI JOHOR
A. PERUNTUKAN AM
Datuk Bandar atau Yang Dipertua yang diberi kuasa oleh PBT boleh meluluskan atau mengarahkan mana-mana pegawai yang diberi kuasa untuk meluluskan bagi pihaknya suatu permohonan Petak Bermusim/Rizab atau Petak Sementara tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Kelulusan adalah tertakluk kepada kekosongan petak, kesesuaian lokasi, kategori aktiviti perniagaan yang dibenarkan, dan lain-lain pertimbangan yang diluluskan oleh PBT.
PBT berhak menolak mana-mana permohonan tanpa memberikan sebab dan keputusan PBT adalah muktamad.
PBT berhak menjalankan pemeriksaan tapak sebelum sesuatu permohonan diluluskan.
PBT berhak meminda, menambah atau memansuhkan mana-mana syarat dari semasa ke semasa.
Dengan mengemukakan permohonan, pemohon dianggap telah membaca, memahami dan bersetuju mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
B. KELAYAKAN PEMOHON
Petak Bermusim / Rizab
Permohonan boleh dibuat oleh pemilik atau penyewa premis atau mana-mana pihak yang mempunyai lesen perniagaan yang sah.
Premis hendaklah mempunyai lesen perniagaan yang sah dan masih berkuat kuasa.
Petak yang dipohon hendaklah berada berhadapan, bersebelahan atau berhampiran dengan premis pemohon.
Premis boleh memohon bilangan petak berdasarkan jenis perniagaan, keluasan premis, keperluan operasi dan pertimbangan PBT.
PBT boleh menetapkan kategori perniagaan tertentu yang diwajibkan menyewa petak bermusim sebagai syarat lesen perniagaan.
Petak Sementara
Permohonan boleh dibuat oleh individu, syarikat, persatuan, organisasi, agensi kerajaan atau mana-mana pihak yang dibenarkan oleh PBT.
Pemohon hendaklah mempunyai lesen, permit atau kelulusan yang masih sah mengikut kategori aktiviti yang dipohon.
Pemohon boleh memohon bilangan petak berdasarkan aktiviti perniagaan dan pertimbangan PBT.
C. DOKUMEN PERMOHONAN
Permohonan hendaklah dibuat melalui aplikasi PARKMAX@JOHOR.
Pemohon hendaklah memuat naik dokumen berikut semasa permohonan: Salinan Kad Pengenalan, Salinan Lesen Perniagaan yang masih sah, Salinan Sijil Pendaftaran Perniagaan (SSM) atau dokumen berkaitan, Salinan Permit atau kelulusan aktiviti (jika berkaitan), Gambar premis, Gambar lokasi petak yang dimohon, Pelan atau lakaran lokasi petak, dan Dokumen lain yang ditetapkan oleh PBT.
Permohonan yang tidak lengkap akan dikembalikan kepada pemohon untuk tindakan pembetulan.
Permohonan yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan boleh ditolak. Walau bagaimanapun, pemohon boleh mengemukakan rayuan kepada PBT untuk pertimbangan lanjut.
D. STATUS PERMOHONAN
Status permohonan akan dikemaskini melalui aplikasi PARKMAX@JOHOR.
Status permohonan dalam aplikasi merangkumi: Dalam Proses (In Process), Sedang Disemak (Checked), Sokong (Supported), Tidak Lengkap (Incomplete), Diluluskan (Approved), Ditolak (Rejected), Aktif (Active), Tamat Tempoh (Expired), dan Ditamatkan (Terminated).
Tempoh semakan adalah mengikut status permohonan disemak.
Tempoh kelulusan adalah 14 hari daripada tarikh permohonan diterima.
PBT juga berhak menetapkan tempoh semakan berdasarkan keperluan operasi semasa.
E. BAYARAN
Setiap kategori aktiviti adalah tertakluk kepada kadar bayaran, tempoh penggunaan dan syarat yang ditetapkan oleh PBT dari semasa ke semasa.
Bayaran hendaklah dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan oleh PBT selepas kelulusan diberikan.
Kegagalan menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan kelulusan dibatalkan secara automatik.
Bayaran yang telah dijelaskan tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membatalkan penggunaan petak selepas kelulusan diberikan, kecuali atas pertimbangan khas PBT.
PBT boleh mengenakan bayaran tambahan bagi papan tanda petak, penandaan petak, dan lain-lain keperluan yang ditetapkan oleh PBT.
F. PENYEDIAAN DAN PENANDAAN PETAK
Penandaan bagi petak yang telah diluluskan akan ditandakan dengan perkataan “RIZAB” pada petak yang ditetapkan oleh PBT dari semasa ke semasa.
Bagi permohonan baru, pemohon diwajibkan membeli papan tanda petak bermusim/rizab yang ditetapkan oleh PBT.
Kerja-kerja penandaan petak dan penyerahan papan tanda hanya akan dilaksanakan setelah semua bayaran dijelaskan sepenuhnya oleh pemohon.
Petak yang telah tamat tempoh, tidak diperbaharui, dibatalkan atau ditamatkan kelulusannya tidak boleh lagi digunakan, ditandakan atau diwakili sebagai petak bermusim/rizab.
PBT berhak mengalihkan papan tanda, menyita mana-mana papan tanda, atau memadamkan penandaan bagi mana-mana petak yang tidak lagi mempunyai kelulusan yang sah tanpa sebarang tuntutan pampasan daripada pemohon.
Papan tanda yang telah dibeli oleh pemohon adalah menjadi hak milik pemohon dan tidak perlu dipulangkan kepada PBT. Walau bagaimanapun, tiada bayaran balik akan diberikan sekiranya permohonan tidak diperbaharui, dibatalkan atau ditamatkan.
PBT berhak menetapkan kaedah, lokasi, saiz, reka bentuk, warna dan spesifikasi penandaan petak serta papan tanda yang hendak digunakan bagi memastikan keseragaman dan pematuhan kepada keperluan operasi serta penguatkuasaan.
G. PENGGUNAAN PETAK BERMUSIM
Pemohon mempunyai hak penggunaan eksklusif ke atas petak yang diluluskan sepanjang tempoh sah kelulusan dan semasa waktu pengoperasian yang telah ditetapkan oleh PBT.
Pemohon bertanggungjawab menjelaskan bayaran petak bermusim sehingga tarikh pembatalan, penamatan atau pemulangan petak disahkan oleh PBT. Kegagalan memperbaharui permit atau kelewatan mengemukakan notis penamatan tidak melepaskan pemohon daripada tanggungjawab membayar caj yang dikenakan bagi tempoh petak tersebut masih diperuntukkan kepadanya.
Kategori aktiviti perniagaan yang layak dibahagikan kepada 3 kategori:
Dalam Dasar: Perniagaan menjual/servis motorsikal; kedai tayar/aksesori/servis; bengkel kenderaan (membaiki/mengetuk/mengecat); kedai/pusat pameran kenderaan; dan perniagaan mencuci/mengilat kenderaan.
Bukan Dasar: Perniagaan pembekal/pemborong; perkakasan; pembuat/pembekal aluminium, cermin dan papan iklan; klinik/kedai ubat/farmasi; bank/syarikat kewangan/pengurup wang/ar-rahnu; peralatan kesihatan OKU; restoran makanan segera; hotel/rumah tumpangan berlesen; pusat barangan elektrik/jualan langsung; dan pusat pembelajaran.
GLC: Agensi Kerajaan Pusat & GLC; Agensi Kerajaan Negeri & GLC Negeri / Kerajaan Pusat / PIJ / PAJ / KPRJ / dll.
(Nota: Kelayakan ini tertakluk kepada dasar, syarat dan pertimbangan semasa PBT. PBT berhak mengehadkan, mengecualikan atau menetapkan syarat tambahan).
Petak hanya boleh digunakan bagi tujuan: laluan kenderaan keluar/masuk premis; rizab ambulan/doktor/pesakit; kenderaan keselamatan & pelanggan; meletak kenderaan ketua jabatan/pelanggan; meletak kenderaan khas/laluan kaunter khas; penghantaran cepat/ibu mengandung/warga emas; pemunggahan; dan lain-lain aktiviti yang diluluskan oleh PBT.
Pengguna hendaklah memastikan penggunaan petak tidak mengganggu lalu lintas, keselamatan awam atau kepentingan pengguna jalan raya yang lain.
Pengguna tidak dibenarkan menghalang penggunaan petak oleh orang awam di luar waktu pengoperasian yang ditetapkan oleh PBT.
H. PENGGUNAAN PETAK SEMENTARA
Pemohon mempunyai hak penggunaan eksklusif ke atas petak yang diluluskan sepanjang tempoh sah kelulusan dan semasa waktu pengoperasian ditetapkan oleh PBT.
Kategori aktiviti yang dibenarkan meliputi: penjaja, khemah promosi, program keagamaan, kontraktor, tong Roro, Skylift, dan lain-lain aktiviti yang diluluskan oleh PBT.
Bagi kategori yang memerlukan permit, pemohon hendaklah memastikan permit berkaitan sentiasa sah sepanjang tempoh penggunaan petak sementara.
PBT boleh menetapkan kategori tertentu yang diberikan kelulusan serta-merta tanpa semakan manual tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pemohon hendaklah memastikan kawasan sentiasa bersih, selamat dan tidak mengganggu pengguna jalan raya terutama selepas penggunaan.
Sebarang kerosakan kepada jalan, petak parkir, longkang, kaki lima atau harta awam akibat penggunaan petak sementara hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pemohon petak.
Pemohon hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan teknikal, pihak utiliti, polis, bomba atau mana-mana agensi berkaitan sekiranya berkenaan.
Pemohon hendaklah memastikan semua peralatan, bahan, khemah, tong roro, jentera atau apa-apa kelengkapan yang digunakan berada dalam kawasan yang diluluskan sahaja.
Kelulusan petak sementara tidak boleh dipindah milik kepada mana-mana individu, syarikat atau pihak lain.
PBT berhak menjalankan pemeriksaan pada bila-bila masa sepanjang tempoh penggunaan petak sementara bagi memastikan pematuhan syarat.
PBT berhak meminda kategori aktiviti, kadar bayaran, tempoh penggunaan, kaedah kelulusan dan syarat-syarat petak sementara dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
I. PEMBAHARUAN, PENAMATAN DAN RAYUAN PETAK BERMUSIM/RIZAB
Permohonan pembaharuan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tamat tempoh kelulusan.
Pemohon yang tidak berhasrat untuk meneruskan penggunaan petak hendaklah mengemukakan notis penamatan kepada PBT secara bertulis sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh tamat tempoh kelulusan.
Kegagalan mengemukakan notis penamatan atau kegagalan memperbaharui sewaan petak selepas tamat tempoh kelulusan tidak dianggap sebagai penamatan penggunaan petak secara automatik.
Pemohon kekal bertanggungjawab ke atas segala bayaran yang dikenakan sehingga tarikh pembatalan, penamatan atau pemulangan petak disahkan oleh PBT.
PBT berhak membatalkan atau menamatkan peruntukan petak sekiranya pemohon gagal memperbaharui sewaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Pemohon boleh mengemukakan rayuan bertulis kepada Datuk Bandar atau Yang Dipertua PBT bagi permohonan yang ditolak dan keputusan rayuan oleh PBT adalah muktamad.
J. PEMBATALAN KELULUSAN
PBT berhak membatalkan atau menamatkan kelulusan pada bila-bila masa sekiranya:
Bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan.
Lesen perniagaan telah tamat tempoh.
Permit dibatalkan.
Maklumat palsu dikemukakan semasa permohonan.
Berlaku pelanggaran syarat.
Terdapat aduan awam yang berasas.
Berlaku gangguan lalu lintas atau isu keselamatan.
Atas arahan pihak berkuasa.
PBT boleh memberikan notis pembatalan mengikut tempoh yang difikirkan sesuai berdasarkan keadaan dan kepentingan awam.
Tiada tuntutan ganti rugi atau bayaran balik boleh dibuat terhadap PBT berhubung pembatalan tersebut.
K. TUNGGAKAN DAN PEMATUHAN
PBT berhak menolak permohonan baru atau pembaharuan sekiranya pemohon mempunyai tunggakan kompaun, tunggakan lesen perniagaan, atau tunggakan bayaran petak bermusim.
Pemohon bertanggungjawab menjelaskan bayaran petak bermusim sehingga tarikh pembatalan, penamatan atau pemulangan petak disahkan oleh PBT.
PBT berhak menolak sebarang permohonan baru atau pembaharuan daripada pemohon yang pernah ditamatkan peruntukan petaknya sehingga semua tunggakan, caj dan bayaran berkaitan diselesaikan sepenuhnya.
L. PELARASAN DAN PEMULANGAN BAYARAN
PBT berhak membuat pelarasan bayaran bagi kenaikan/pengurangan kadar bayaran, pertukaran kategori petak, perubahan tempoh penggunaan, pembatalan/penamatan penggunaan petak, atau lain-lain keadaan yang diluluskan oleh PBT.
Sebarang lebihan atau kekurangan bayaran yang terhasil daripada pelarasan tersebut hendaklah diselesaikan mengikut kaedah yang ditetapkan oleh PBT.
Pemulangan bayaran, sekiranya dibenarkan, adalah tertakluk kepada semakan dan kelulusan PBT.
M. PAJAKAN KAWASAN KHAS
PBT boleh mempertimbangkan permohonan pajakan kawasan khas bagi tujuan tertentu yang melibatkan penggunaan lebih daripada satu petak atau satu kawasan parkir secara keseluruhan.
Tempoh pajakan, kadar bayaran, keluasan kawasan serta syarat-syarat penggunaan adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan PBT.
Kadar bayaran bagi pajakan kawasan khas tidak tertakluk kepada kadar bayaran petak bermusim/rizab yang dinyatakan dalam dasar ini dan hendaklah ditentukan oleh PBT dari semasa ke semasa.
Kelulusan pajakan kawasan khas adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan PBT.
N. LIABILITI
PBT tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan, kerosakan, kecurian atau kemalangan yang melibatkan kenderaan, peralatan atau harta benda di kawasan petak.
PBT tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kerugian perniagaan yang dialami akibat pembatalan, penggantungan atau penamatan petak.
O. PENGUATKUASAAN
PBT boleh mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, sitaan, pembatalan kelulusan, pengalihan halangan atau tindakan undang-undang terhadap mana-mana pelanggaran syarat.
Kos pengalihan, penyimpanan atau pelupusan barang yang disita boleh dituntut daripada pemohon petak.
Tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), dan Undang-undang Kecil Tempat Letak Kereta yang berkuat kuasa.